derita suhaimi - 2003

Pada tahun 2003 merupakan cabaran paling getir dalam sejarah pelayaran hidupku di muka bumi ini. Bermula dengan sakit sengal-sengal di bahagian belakang akhirnya menjadikan aku lumpuh separuh badan. Dari seorang yang mampu berjalan dan berlari ke sana ke mari aku menjadi insan yang lemah tak berdaya. Aku bergantung dengan orang lain untuk hidup. Aku tak mampu berdiri apatalah lagi berjalan dan berlari seperti orang lain. Masa depan ku rasakan gelap dan mungkin saat akhir hayat ku telah pun tiba apabila Doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menyatakan terdapat tumor kanser di bahagian tulang belakang ku. Aku redha dan air mata yang bergenang mengiringi kepasrahan menerima takdir yang tersurat buat ku. Hari demi hari ku lalui sepanjang di atas katil wad hospital hanya menanti dan menanti detik waktu untuk aku pergi meninggalkan dunia ini, isteri dan anak tercinta serta keluarga yang tersayang. Alhamdullilah, doktor kemudiannya menyatakan sel kanser bukanlah sel kanser aktif yang mengancam nyawaku. Namun peluang untuk kembali berjalan semula masih tipis.
Doktor telah membuat keputusan bahawa aku perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan tumor yang berada di tulang belakangku. Satu lagi perhitungan antara hidup dan mati yang terpaksa aku tempuhi. Peluang untuk pembedahan ini berjaya adalah 50% sahaja dan jika tidak berjaya maka aku akan mengalami lumpuh sepanjang hidupku. Atas nasihat pelbagai pihak Aku membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan secara alternatif dan keluar dari wad PPUM. Bagi ku pembedahan adalah jalan terakhir buatku.
Pelbagai rawatan alternatif yang aku lalui. Sebut saja dimana aku akan diusung tanpa mengira waktu, siang dan malam. Aku amat terharu di atas kasih sayang dan pengorbanan isteri, ibu bapaku, ibu bapa mertuaku, adik beradik yang sanggup berusaha untuk lakukan yang terbaik buatku. Wang ringgit bagai air sungai yang mengalir. Segala simpanan ku habis demi membiayai kos rawatan ku. Aku merasa amat sedih dan setiap kali perasaan kesedihan itu datang setiap kali juga air mata ini bercucuran. Bukan sedih kerana derita yang aku alami tetapi lebih menyedihkan apabila terpaksa menjadikan orang lain susah kerana diriku. Biarlah aku susah tapi menyusahkan orang lain adalah sesuatu yang menyedihkan.
Pelbagai rawatan alternatif yang aku lalui akhirnya menemui jalan buntu, akhirnya aku membuat keputusan untuk menjalani pembedahan di PPUM. Selama lebih kurang 12 jam aku berada di bilik pembedahan namun keputusan pembedahan tidak melegakan perasaanku. Selepas pembedahan Doktor menyatakan tidak keseluruhan tumor tersebut dapat dikeluarkan dan satu kali lagi pembedahan akan dilakukan dengan membelah di bahagian hadapan dadaku untuk mengeluarkan sebahagiannya. Hidup ku terasa semakin sukar namun aku pasrah. Aku membuat keputusan untuk menolak cadangan pembedahan kali kedua. Biarlah apa yang ingin berlaku pada diriku biarlah. Jika kanser itu ingin merebak biarlah aku tidak rela untuk dibelah lagi seperti menyiang ikan yang dibelah perut. Aku memilih untuk menjalani radiotheraphy sebanyak 25 kali sebagai alternatif menjalani pembedahan kali ke dua.
Sepanjang di hospital aku yakin dan percaya perlu ada makanan tambahan untuk membantu memulihkan penyakitku. Aku tidak mahu terlalu bergantung kepada pil dan ubat yang dibekalkan oleh pihak Hospital. Aku minta supaya dibelikan produk gamat atau apa saja makanan tradisional yang aku percaya baik untuk kesihatan. Dan paling aku percaya adalah keberkesanan gamat dan aku memakannya sepanjang di hospital samada dalam bentuk asli iatu gamat yang dikeringkan dan aku makan gamat kering yang dipotong oleh isteriku. Selain itu aku juga minum air gamat yang ada di jual di farmasi. Aku makan kedua-duanya pil hospital dan gamat. Setelah beberapa hari, luka jahitan pembedahan ku sembuh amat cepat dan ia amat menghairankan pihak Doktor dan setelah menjalani radioterapi aku rasakan sedikit perubahan terhadap kaki ku. Ibu jari kaki ku boleh bergerak sedikit kalau sebelumnya tidak mampu aku gerakkan walaupun sedikit. Hari demi hari berlalu aku boleh berdiri walaupun tidak lama dan melihat perkembangan ku itu, aku minta supaya dapat pulang ke rumah.
Di rumah aku terus menjalankan rawatan peribadi dengan membuat urutan tradisional dan bertatih untuk berjalan dengan menggunakan tongkat. Kata orang penyakit datang macam ribut nak pergi macam semut. Inilah yang aku lalui. Dalam tempoh itu aku berulang dari rumah ke hospital untuk menjalani rawatan. Isteri ku yang terpaksa mengambil cuti separuh gaji membantuku dalam urusan menghantar ku ke hospital. Akhirnya aku mampu berjalan seperti biasa dan mampu memandu motosikal semula. Ku rasakan mati hidup semula. Tuhan memberi kesempatan lagi untuk aku menikmati kehidupan ini. Entah mengapa walaupun aku pernah berdoa sekiranya hidup ku akan hanya membawa aku lupa kepada mu Ya Allah aku redha menerima kematian ini. Namun dalam masa yang sama aku yakin dan percaya bahawa sekiranya kita mengingati Allah SWT tatkala kita senang, Allah SWT akan mengingati kita tatkala kita susah.
Alhamdullillah, aku kini sembuh namun sampai bila aku mampu bertahan aku serahkan kepada Allah SWT. Akan aku teruskan kehidupan ini dan sentiasa berharap agar Allah SWT sentiasa memberi hidayah dan petunjuk sehinggalah ke nafas ku yang terakhir. Buat isteri dan keluarga tercinta terima kasih di atas pengorbanan kelian. Buat sahabat-sahabat ku terima kasih kerana sudi memberikan sumbangan wang ringgit, menziarahi ku dan memberi dorongan dan semangat buatku. Buat UMNO Lembah Pantai terima kasih di atas sumbangan pembiayaan alat ganti berjumlah ribuan ringgit yang dipasang di tulang belakang ku ini. Terima kasih juga kepada PAS Kg Melayu Raya di atas sumbangan kewangan yang diberikan serta penduduk kampong Melayu Raya dan penduduk Pangsapuri KTMB Bangsar Utama yang telah membuat sembahyang hajat buat ku.
Hidup ini adalah sebuah pelayaran adakalanya kita dilambung ombak ganas untuk kita sampai ke destinasi kematian. Cerita ini hanyalah 20% sahaja dari cerita keseluruhannya. Sesunggunya perasaan yang ku alami tidak dapat untuk diterjemahkan dalam bentuk ayat. Biarlah ia menjadi memori dalam kamus hidupku dan semoga cerita ini menjadi ingatan buat ku dan iktibar untuk kita bersama. Amin.
SUHAIMI ALI

Comments

en_me said…
salam bro, semoga terus sehat, ceria dan terus gamat..
Anonymous said…
Jangan lupe bro sumbangan dari mana tu bro... X kan xde pruntukan untuk rampas kembali Lembah Pantai tu....
Semoga sihat sejahtera hendaknya..

Popular posts from this blog

Jangan Ada Benci - Casey

SOAL JAWAB MENGENAI FEMMINA

Sebaik-baik Doktor Adalah Diri Sendiri