Ukhuwwah Network Group

Ukhuwwah Network Group
Cuti2 Melbourne, Australia 2016

Monday, August 11, 2008

Aku Orang Johor


Salam buat semua, disini ingin kuceritakan sedikit tentang latarbelakang diriku buat dkongsi bersama dan mudah2an kita akan lebih dekat dan silaturrahim kita semakin erat.


Aku dilahirkan di Telok Sengat Masai, Johor dari keluarga yang serba kekurangan. Ibu dan bapaku tidak pernah kenal erti kemewahan dan hidupnya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka tidak pernah kenal apa itu Jusco, Meridian, dan apatah lagi yang dipanggil Mercedes Brabus. Namun, aku bersyukur kerana dilahirkan di dunia ini dan dapat mengenali anda semua melalui blog ini. Ibuku keturunan Bugis manakala bapaku berketurunan Jawa. Aku mempunyai 11 orang adik beradik dan aku anak yang ke 5.


Pada usiaku setahun setengah, aku telah dibawa ke Felda Taib Andak, Kulai oleh Atuk saudaraku (emak saudara emak aku) dan aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Taib Andak Kulai. Sekolah yang sama dengan penyanyi popular tanahair Mawi. Aku membesar di dalam pesekitaran felda yang terdiri dari pelbagai budaya, loghat dari rumpun Melayu. Hidup di persekitaran felda memang mencabar maklumlah ketika itu peneroka felda antara peneroka yang mewah hasil dasar Ekonomi Baru dan Pelan Pembangunan Luar Bandar yang diperkenalkan oleh Tun Razak. Namun, yang menyedihkan juga peratus penagih dadah meningkat di felda ketika itu, kini dan akan datang. Bersyukur aku pada Allah SWT kerana aku tidak terjebak di dalam arus pengedaran dan ketagihan dadah yang berleluasa di felda ketika itu.


Semasa aku berusia 13 tahun, aku menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Abdul Rahman Putra, Kulai di tingkatan 1 dan 2. Namun sebelum akhir tingkatan 2 aku berpindah ke Sekolah Menengah Pekan Nanas, Pontian, Johor kerana mengikut emak aku. Aku tinggal di Kampong Melayu Raya, iatu sebuah kampung yang beraya saja sepanjang tahun. Kehidupan aku ketika itu berlaku perubahan yang mendadak. Kalau di felda dulu, petik tepi tengah menyala, bilik mandi dalam rumah tetapi di kampong aku terpaksalah bangun pagi dengan pelita pergi ke perigi dalam sejuk dan gelap. Nak buat macamana kenalah terima perubahan tu...


Aku bersekolah di Sekolah Menengah Pekan Nanas sehinggalah tahun 1982. Keputusan SRP aku tidak lah baik bukan bodoh tetapi kerana aku tak belajar. Aku lebih suka duduk di padang bola dari mengulangkaji pelajaran. Di sekolah Menengah Pekan Nanas, aku mula berjinak dengan persatuan dan sukan. Aku memegang jawatan penting juga seperti Pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia, Pengerusi Persatuan Ugama Islam dan macam-macam lagi sehingga penuh sijil berhenti sekolah aku tu. Aku juga aktif dalam sukan terutamanya Bola Sepak sehingga aku dapat mewakili sekolah di peringkat daerah Pontian. Pencapaian yang paling manis dan tidak dapat aku lupakan semasa di sekolah ini ialah apabila aku diumumkan sebagai Pelajar Terbaik pada tahun 1992 kerana kecemerlangan aku dalam bidang akademik, ko korikulum dan sukan. Memang seronok...Aku kemudiannya menyambung pelajaran ke tingkatan 6 di Sekolah Dato'Penggawa Barat, Pontian (SDPB). Di sekolah ini aku telah dapat tinggal di asrama dan di saat keremajaan aku ketika itu aku tidak begitu menumpukan kepada pelajaran tetapi lebih menumpukan kepada aktiviti persatuan dan sukan. Aku bergiat cergas dalam persatuan dan aku menjawat jawatan yang paling glamour iaitu Presiden Persatuan Tingkatan Enam atau PERTEN. Memanglah glamour sebab semua pelajar-pelajar enam rendah dan atas adalah ahli kepada persatuan ini. Selain tu..aku juga memegang jawatan sebagai Penolong Ketua Pengawas yang paling flexibel dan tegas dalam sesuatu hal. Memang banyak jawatan yang aku pegang selain menjadi Jurulatih Pasukan Bola Sepak bawah 18 tahun sekolah dan macam-macam lagi sehingga tidak muat ruangan sijil berhenti sekolah aku. Namun, yang menyedihkan pencapaian aku dalam akademik jatuh merudum sehingga cik gu kelas aku Puan Habibah menitis air mata apabila mengetahui penglibatan aku yang keterlaluan dalam ko korikulum. Aku tidak pernah menyalahkan sesiapa tetapi aku menyalahkan diriku sendiri bukan kerana apa kerana aku yang minat ke arah itu. Aku berazam untuk belajar semula...dan habis sekolah aku belajar sendiri demi memperbaiki semula kesilapan lalu.


Sebelum jawatan sekarang yang aku jawat, aku pernah bertugas sebagai kerani perladangan Sime Darby di Kulai iaitu pada tahun 1985 hingga 1986. Aku ditukarkan ke Ladang Bukit Rajah Klang, Selangor pada 1987. Di situ aku mula mengenali Lembah Klang. Aku menumpang di rumah sepupu ku di Padang Jawa, Shah Alam. Pada tahun 1987 aku memohon kerja tetap dan berpencen di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan berkerja sebagai Penguatkuasa sehingga Disember 1990. Aku memohon kerja dengan JPA melalui surat khabar sebagai Pegawai Kerani dengan kerajaan dan aku diterima masuk sebagai Pegawai Kerani di Keretapi Tanah Melayu sehingga sekarang dah hampir 18 tahun aku berkerja di KTMB. Satu-satu bangunan yang antik yang paling aku tertarik seketika dulu semasa aku datang ke Kuala Lumpur dan akhirnya aku ditakdirkan bekerja di dalam bangunan tersebut. Itulah takdir, itulah ketentuan tidak pernah terfikir untuk aku bekerja di tengah2 bandar metropolitan ini. Anak kampong yang hidup di dalam kemiskinan di hulu kampong kini tinggal di Bangsar Kuala Lumpur. Cukuplah setakat ini kita jumpa di siri ke 2 Aku Orang Johor nanti. Wassalam.






Monday, August 4, 2008

Jalan2 D Thailand




Pada 16 -18 Mei 2008, kami sempat melancong ke Thailand dengan menaiki tren dari KL Sentral ke Padang Besar, Perlis. Dapatlah merasa pulut dan ayam goreng yang sedap tuuu..adalak yang sempat facial muka dan massage kat sana. Ada yang shopping sakan kat Padang Besar. Pasti Gamat.