Ukhuwwah Network Group

Ukhuwwah Network Group
Cuti2 Melbourne, Australia 2016

Friday, March 20, 2009

Belajar Untuk Mengajar

“BELAJAR UNTUK MENGAJAR”

Kita sebagai insan mula belajar dari peringkat bayi dalam kandungan ibu lagi. Di dalam kandungan Ibu, kita sudah mula belajar dan mendengar tentang kehidupan. Walaupun kita belum dapat melihat cerahnya matahari namun kita telah mula belajar mengenali kehidupan. Bermula dengan tangisan yang pertama barulah proses pembelajaran di dunia realti bermula. Bagaikan kain putih yang bersih, yang mencorakkan diri kita ialah ibu bapa dan persekitaran kita. Oleh kerana itu, ibu-ibu yang faham tentang proses ini akan memperbanyakkan membaca Al-quran, dan surah-surah tertentu dan dendangan zikir serta munajat semasa mengandung supaya insan yang dilahirkan menjadi insan yang mulia. Begitulah juga sebaliknya.

Proses pembelajaran ini mempengaruhi sikap insan itu apabila ia dilahirkan. Proses pembelajaran tidak akan berhenti sehinggalah ke hembusan nafas yang terakhir. Dalam konteks belajar atau pembelajaran ini pada lazimnya kita melalui sistem pembelajaran seperti berikut:-

a. Pembelajaran Formal; iaitu proses pembelajaran yang telah distrukturkan melalui sistem persekolahan dan pengajian di institut pengajian tinggi dan sebagainya;
b. Pembelajaran Informal;iaitu proses pembelajaran yang kita lalui melalui sistem yang tidak distrukturkan seperti menghadiri kursus-kursus atau pembelajaran yang diperolehi di dalam aktiviti persatuan dan kemasyarakatan;
c. Pembelajaran Unformal; iaitu proses pembelajaran melalui visual pancaindera secara peribadi atau pengalaman kehidupan yang dilalui diri sendiri, pembacaan, kajian dan sebagainya.

Bagi insan yang tercicir/gagal di dalam proses pembelajaran formal ia bukan bermakna kita gagal dalam kehidupan. Masih ada proses informal dan unformal yang boleh kita jadikan landasan dalam mencipta kejayaan. Malah telah terbukti banyak insan di dunia ini yang berjaya dalam kehidupan tanpa segulong ijazah. Masih ada ruang dan peluang pembelajaran yang disediakan untuk kita berjaya dalam dunia MLM sepertimana yang disediakan oleh GESB/Pemimpin.

Setiap insan akan menjalani proses pembelajaran ini. Persoalannya, adakah maklumat/silibus yang diterima dalam proses pembelajaran itu menjadikan kita insan yang memahami matlamat kehidupan insan yang sebenar. Apakah pembelajaran itu digunakan untuk kepentingan survival diri sendiri atau orang lain. Di sini lah konsep yang ingin saya kongsikan iaitu “Belajar Untuk Mengajar”.

Setiap insan perlu ada niat di dalam hatinya “Belajar Untuk Mengajar”. Lebih-lebih lagi di arena perniagaan Multi Level Marketing yang kita ceburi. Dalam konteks ini, seperti saya katakan tadi proses belajar adalah proses berterusan. Walau pun di suatu ketika kita pernah mencapai tahap tertinggi dalam pembelajaran formal, namun kadangkala ilmu yang kita pelajari itu tidak lagi relevan untuk dipraktikkan pada masa ini. Kerana, masa terlalu pantas berlalu, teknologi terlalu cepat berganti dan zaman terlalu cepat berubah. Untuk menjadi insan yang progresif dan dinamik selari dengan perubahan itu maka perlunya kita belajar untuk mengajar secara berterusan.

Kenapa kita perlu belajar dan mengajar? Kita perlu belajar untuk mengajar diri kita sendiri agar kita sedar bahawa kita tidak boleh terus tinggal dalam kepompong kemiskinan dan kesusahan. Kita perlu belajar untuk mengajar diri kita agar kita mampu berubah dari tahap yang kurang baik kepada tahap yang baik. Dari tahap yang baik kepada yang lebih baik. Belajar untuk mengajar diri kita agar kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan insan-insan yang telah berjaya. Hanya kita yang mampu mengubah diri kita. Biar beribu orang menyatakan kita boleh berubah tetapi kita sendiri menyatakan tidak boleh berubah maka kita tidak akan berubah. Namun, sekiranya beribu orang menyatakan kita tidak boleh berubah tetapi kita katakan pada diri kita bahawa kita boleh berubah maka kita akan mampu berubah.



Kita perlu belajar untuk mengajar anak-anak kita supaya mereka mendapat contoh dan kaedah terbaik dalam arus kehidupan ini. Belajar untuk mengajar sahabat-sahabat kita dan membuktikan kepada mereka bahawa belajar itu penting dan mengajar juga penting. Bagaimana kita hendak mengajar mereka sekiranya kita tidak belajar? Kita jadikan diri kita serba tahu sedangkan masih banyak yang perlu kita tahu. Masih banyak yang perlu kita pelajari di dalam lautan ilmu yang serba luas ini. Mengapa terlalu sukar untuk kita hadir majlis-majlis ilmu yang disediakan? Sedangkan setiap ilmu yang baik akan memberikan kesan positif dalam kehidupan kita.

Belajar untuk mengajar penting untuk membuktikan kepada rakan-rakan di dalam rangkaian kita bahawa kita bukan sahaja berkomitmen untuk belajar untuk diri kita malah kita juga berkomitmen untuk mengajar mereka supaya menjadi seperti kita. Yang penting ialah kesedaran Belajar Untuk Mengajar perlu ada di dalam diri kita.

Belajar Untuk Mengajar akan menjadikan diri kita umpama lilin yang menerangi hidup orang lain. Sanggup mengorbankan dirinya untuk melihat orang lain berjaya. Ilmu yang diajarkan kepada insan lain tidak akan menjadikan kita kekeringan ilmu malah ia akan menambah. Pujangga ada menyatakan jika kamu mengejar akan harta maka harta akan meninggalkan kamu jika kamu mengejar ilmu maka ilmu akan menjaga kita. Asalkan saja ilmu yang kita pelajari dan kita ajari itu tidak bercanggah dengan kehendak agama.

Oleh yang demikian, perlu ada di dalam hati kita sikap “Belajar Untuk Mengajar” agar kita menjadi insan yang bukan sahaja cerdik malah mencerdikkan. Di kalangan kita memang ramai insan mulia yang cerdik dan pandai namun yang lebih mulia ialah insan yang cerdik lagi mencerdikkan. Bukan sahaja dirinya cerdik malah ia mampu menjadikan orang lain turut cerdik. Bukan sahaja dirinya kaya malah ia mampu mengkayakan orang lain dengan ilmunya. Sesungguhnya insan yang memanfaatkan ilmunya lebih baik dari seribu orang ahli ibadah- Hadis.



Marilah kita terus belajar, menimba segala ilmu mengeni MLM, produk, pelan pemasaran yang disediakan oleh GESB dan pemimpin-pemimpin kita agar kita mampu mengajar memahirkan diri sendiri dan mampu juga mengajarkan kepada orang lain. Hadirkan diri di kursus-kursus seperti New Distributor Traing (NDT), Business Development Seminar (BDS) dan Bengkel-Bengkel yang dianjurkan oleh warga kerja GESB/Pemimpin. Belajar untuk Mengajar jika dipraktikkan akan menjadi proses duplikasi yang amat berkesan di dalam membina rangkaian dan membina sifat kempimpinan yang mulia. Tidak perlu menunggu arahan atau paksaan dari ‘up line’ anda. Tetapi tanya lah ‘up line’ anda bila dan dimana boleh anda dapatkan ilmu atau kursus yang diadakan oleh syarikat/pemimpin. Ilmu akan mendapat keberkatan sekiranya ilmu yang hendak dituntut itu datang dari kesedaran dan kehendak diri sendiri.

Sesungguhnya insan yang mengajarkan ilmu yang dipelajari dan mengajar kepada orang lain merupakan insan yang mulia dan merupakan golongan tangan yang di atas dan sesungguhnya tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah. Belajar itu perlu, menuntut ilmu itu perlu dan yang paling perlu ialah beriman dan mengamalkan ilmu itu.


“Belajar Untuk Mengajar’